najwamf

Disclaimer


Assalamualaikum et bonjour.

May Allah grants you with all His blessings, loves and prosperities

EXIT



Entries About Link Stuff

Rewind



Credits

Basecode by: Aina Syaza
Editor: Amel Jasmeen
Owner: Usui's
Others:   
TRAVELOG LAMBAIAN AKSARA SELATAN: Gelora Sang Hati
Bismillahirrahmanirrahim



"Jangan takut untuk gagal, kerna yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak pernah melangkah." - Buya HAMKA.

31 Mei 2016 - 9.45 pagi waktu tempatan. Degup jantung ini masih belum mampu kuperlahan. Makin aku melangkah keluar, makin berdebar rasa jiwa ini. Aku melangkah jauh dari perut pesawat dan kaki kudaratkan di atas bumi komunis ini. Whattay International Airport - aku menggumam perlahan.

Sungguh, semenjak pertemuan bersama-sama Abang Jufitri sebulan yang lalu, hatiku tidak pernah tenteram. Ditambah pula dengan cerita Prof. Kamarul, aku masih ragu-ragu. Haruskah aku teruskan? Persoalan itu kumatikan, lenyap daripada segala memori akal warasku tatkala bandar Vietiane telah kujejak. Usah ditanya mengapa keraguan itu harus ada. Andai engkau ditempatku, pasti jua kaumerasa. Dengan nafsi yang masih mentah, juga ilmu yang agak rapuh, aku takut untuk meneruskan perjalanan ini. Bukan kerana fizikalku yang sedikit kecil, dan juga bukan kerana angka umurku yang terlalu muda. Tetapi, kerana jiwa ini terlalu gentar untuk menerima kegagalan apatah lagi menggalas tanggungjawab yang aku kira sebagai jurubicara ummah. 

Vientiane, ibu negara Laos yang hanya sebesar negeri Perlis menjadi destinasi misi rahmatan lil alamin pada kali ini. Misi pendidikan yang diberi nama Lambaian Aksara Selatan telah menyeru aku dan sahabat untuk mengembalikan sinar Islam yang kian pudar dalam kalangan umat Islam di sini. Semenjak Islam dikembangkan di Laos melalui pedagang dari China, India, Pakistan dan juga Kemboja, jumlah umat Islam masih di tahap minoriti yakni lebih kurang 200 orang sahaja.

Alhamdulillah, Allah juga Yang Maha Mengetahui. Urusan ketibaan delegasi DG-George Town dipermudahkan dengan kehadiran Imam Vina, imam Masjid Azhar. Jujur kukatakan kemunculannya yang tidak terduga sedikit sebanyak menguatkan semangatku yang hampir hilang sebelumnya. Taaruf ringkas antara kami semakin hangat apabila foto Abang Suhail ditunjukkan kepadanya. 

"Oh, saya ingat orang Malaysia ini. Dia pernah datang ke sini. Dia pernah ke rumah saya." maklumnya penuh keterujaan. 

Dapat kurasa kebanggaan yang membunga dalam hatinya. Jalinan ukhuwah ini semakin merah warnanya apabila ikatan dahulunya yang hampir longgar kembali erat. Sepanjang perjalanan ke Masjid Jami' Vientiane, beliau sedikit sebanyak mengimbau kisah pertemuannya dengan relawan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) suatu ketika dahulu. 

Setibanya kami di Masjid Jami' Vientiane, kami telah dipertemukan dengan Imam Rafi' iaitu orang yang bertanggungjawab menguruskan masjid tersebut. Aku dan sahabat mula menemu ramah Imam Rafi' tentang jemaah masjid, kelas agama dan penduduk Islam di sekitar kawasan itu. Biarpun Imam Rafi' tidak bisa berbahasa Melayu atau Inggeris, sesi temu ramah itu tetap diteruskan dengan Imam Vina menjadi penterjemah.

Masjid Jami' yang telah dibina pada sekitar tahun 1970an menjadi lokasi utama kegiatan dakwah Islamiyah. Masjid Azhar pula menyusul pada tahun 1986, mengembangkan lagi Islam ke seluruh Vientiane. Jarak antara kedua-dua buah masjid ini hanyalah tiga kilometer. Menurut Imam Vina, Masjid Jami' mengamalkan mazhab Hanafi atas faktor masyarakat Pakistan dan India (Pakhtuns) yang membawa Islam ke situ. Berbeza pula dengan Masjid Azhar yang mengamalkan mazhab Syafie persis Malaysia. Hal ini kerana, masjid itu dipelopori oleh muhajirin dari Kemboja.

Diceritakan kepada kami, pada tiap-tiap solat Jumaat, jemaah di Masjid Jami' boleh mencecah sehingga 200 orang termasuk penduduk Islam, kedutaan negara-negara Islam, dan juga pelancong yang beragama Islam. Di Laos, hak kesamarataan antara agama telah diamalkan semenjak dahulu lagi. Itulah gagasan komunisme yang dipegang teguh oleh masyarakat Lao. Terdapat empat agama utama yang dianuti oleh mereka: Buddha, Kristian, Islam dan Bahai. Namun, kesemuanya dilayan dengan sama rata dan tiada penyekatan dalam berdakwah atau berdakyah. Syaratnya cuma satu, mereka boleh berdakwah tetapi hanya di tempat beribadat masing-masing sahaja. Selain di dalam masjid, kuil atau gereja, amatlah dilarang sama sekali. 

Variasi informasi dan maklumat yang berjaya diperoleh dalam tempoh masa yang singkat - tiga hingga empat jam, membuatkan semangatku dan sahabat kian membara.

Perjalanan kuteruskan,
Ketakutan itu kupudarkan,
Moga Tuhan berkati,
Moga Tuhan rahmati.


bersambung...

#RahmatanLilAlamin
#LambaianAksaraSelatan

22/6/2016 - 11:05pm
-Najwa MF


Older Post | Newer Post